KUALA LUMPUR 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti menerusi penganjuran Simposium PPHM 2026 di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC, pada 8 Oktober lalu.
Simposium tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa. Beliau turut melawat pameran yang mengetengahkan pelbagai produk serta inisiatif komuniti homestay.
Sejak diperkenalkan pada 1995, PPHM berkembang sebagai antara produk pelancongan penting negara yang menawarkan pengalaman autentik kepada pengunjung melalui penglibatan secara langsung dengan masyarakat setempat.
Berdasarkan statistik program bagi 2025, PPHM merekodkan penyertaan 3,600 pengusaha yang merangkumi 252 kluster di seluruh negara. Program tersebut turut menerima seramai 977,666 pelancong dengan hasil melebihi RM62.4 juta.
-Advertisement-
Simposium ini menjadi platform untuk pengusaha berkongsi amalan terbaik, memperluas jaringan kerjasama serta memperkukuh komuniti homestay. Antara perkara yang diberi perhatian ialah penggunaan teknologi dan platform digital, pemeliharaan keaslian budaya serta warisan, pendekatan mentor-mentee dan penglibatan generasi muda.
Menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026–2027, usaha memperkasa PPHM diteruskan bagi menarik lebih ramai pelancong menikmati pengalaman bersama komuniti tempatan, di samping memperluas manfaat ekonomi pelancongan kepada penduduk setempat – The Capital Post