KUALA LUMPUR 10 Oktober 2026 (The Capital Post) – Belanjawan 2027 memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh pendapatan, hak dan perlindungan sosial pekerja gig, termasuk pakej pembiayaan bersama kerajaan dan Grab berjumlah RM160 juta yang dijadualkan bermula tahun depan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa Majlis Perundingan Gig sedang membincangkan kadar pendapatan minimum, formula pengiraan pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial, dengan sasaran untuk memuktamadkan rundingan pada awal 2027.
Pakej RM160 juta itu merangkumi usaha meningkatkan pendapatan minimum, bantuan penyelenggaraan kenderaan, perlindungan insurans dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menerusi inisiatif berkenaan, pendapatan bulanan pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sebanyak RM227, manakala penghantar p-hailing diunjurkan menerima peningkatan sebanyak RM100 sebulan.
-Advertisement-
Belanjawan itu turut menyediakan insentif caruman PERKESO, termasuk caruman padanan sebanyak 35 peratus bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, meningkat kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman pekerja.
Bagi lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor yang tidak diwajibkan mencarum, insentif caruman sebanyak 70 peratus turut disediakan.
Selain itu, pelepasan cukai diperluas kepada caruman wajib Skim LINDUNG Kendiri, dengan pelepasan tambahan RM150 bagi caruman sukarela di bawah Skim LINDUNG 24 Jam dan LINDUNG Kendiri.
KESUMA menyatakan bahawa pelbagai langkah tersebut bertujuan menyokong pembentukan ekosistem pekerjaan gig yang lebih adil dan inklusif, di samping memperkukuh aspek pendapatan, keselamatan sosial serta kebajikan pekerja – The Capital Post