KLANG 10 Oktober 2026 (The Capital Post) – Seramai 36 pegawai audiologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Selangor berhimpun bagi menjayakan Sambutan Hari Audiologis Sedunia Peringkat Komuniti Profesion Audiologi Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Bengkel Daya Klang, hari ini.
Penganjuran julung kali di peringkat komuniti profesion audiologi negeri itu bertujuan menghargai sumbangan audiologis sebagai tenaga profesional yang memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan pendengaran di hospital kerajaan yang mempunyai kepakaran Otorinolaringologi (ORL).
Ketua Bidang Profesion Audiologi Negeri Selangor merangkap pengarah program, Encik Shaharul Farzul bin Razali, menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para hadirin sebelum majlis dirasmikan oleh Ketua Perkhidmatan Audiologi KKM, Dr. Nurul Huda binti Bani.
-Advertisement-
Sambutan tahun ini turut memberi perhatian kepada isu keletihan emosi atau burnout dalam kalangan petugas melalui ceramah motivasi bertajuk “Behind the Booth, the Silent Burnout” yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Psikologi Kaunseling Hospital Sungai Buloh, Encik Muhammad Ashraf bin Mat Saari.
Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha menghargai khidmat bakti audiologis dalam penjagaan kesihatan pendengaran, di samping mengeratkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti audiologi di Selangor – The Capital Post