KANGAR 12 Oktober 2026 (The Capital Post) – Liga Sukan Uniti (LSU) 2026 terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat melalui aktiviti sukan, di samping memelihara warisan budaya dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid, berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Sukan Uniti 2026 Peringkat Zon Utara pada 11 Oktober lalu.
Penganjuran di Zon Utara kali ini mengetengahkan gabungan sukan tradisional dan moden menerusi dua lokasi berbeza, iaitu acara sukan rakyat tradisional di kawasan bersejarah Muzium Kota Kayang serta sukan moden di D’ Futsal Centre, Kangar.
Menurut Haslina, pendekatan tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghayati permainan warisan, sambil menyertai aktiviti sukan yang popular dalam kalangan generasi masa kini.
-Advertisement-
Beliau turut menekankan kepentingan membentuk generasi yang aktif dan berdaya saing tanpa melupakan identiti budaya serta tanggungjawab bersama dalam membina sebuah negara yang bersatu padu.
Penganjuran LSU diharap dapat terus memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan, sekali gus menjadikan sukan sebagai medium untuk memupuk persefahaman, menghargai kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan negara – The Capital Post