KIMANIS 12 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jualan MADANI KUSKOP (JMK) di Kampung Lanas, Kimanis, Sabah terus menjadi antara inisiatif bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan, dengan tawaran diskaun sehingga 30 peratus.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, mengadakan sesi walkabout di lokasi berkenaan bagi meninjau pelaksanaan program serta manfaat yang ditawarkan kepada penduduk setempat.
Inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat, khususnya dalam memenuhi keperluan isi rumah, melalui penawaran barangan asas pada harga yang lebih rendah.
Selain meninjau jualan, Mohamad turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk bagi mendekati komuniti setempat. Beliau juga menyempurnakan gimik Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah bagi kategori veteran dan belia.
-Advertisement-
Penganjuran aktiviti sukan itu turut membuka ruang kepada penduduk untuk menjalani gaya hidup aktif, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Pelaksanaan JMK bersama aktiviti kemasyarakatan diharap dapat terus memberi manfaat kepada penduduk setempat, bukan sahaja dari segi penjimatan perbelanjaan, malah melalui pengukuhan hubungan sosial dan kesejahteraan komuniti – The Capital Post