SEPANYOL 12 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkukuh pemantauan terhadap Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu menerusi Lawatan Ujian Penerimaan Kilang (Factory Acceptance Test – FAT) bagi injap Butterfly Valve dan Fixed Cone Valve di Jerman dan Sepanyol pada 8 hingga 9 Oktober lalu.
Lawatan tersebut diketuai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, bagi menilai produk keluaran syarikat VAG yang digunakan dalam projek berkenaan. Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Ketika ini, projek berkenaan berada dalam Fasa 1 yang melibatkan penggantian injap penahan (Butterfly Valve) dan injap pelepasan (Fixed Cone Valve). Pelaksanaannya merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memulihkan kemudahan Empangan Pedu bagi menyokong keperluan sektor pertanian negara.
Ujian penerimaan kilang itu bertujuan memastikan kedua-dua jenis injap memenuhi spesifikasi teknikal, reka bentuk, standard kualiti dan syarat kontrak yang ditetapkan sebelum penghantaran ke tapak projek. Pemeriksaan turut memberi perhatian kepada tahap kesiapsiagaan produk bagi mengurangkan risiko kelewatan pelaksanaan kerja-kerja utama.
-Advertisement-
Turut menyertai lawatan ialah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (UKAS), Datuk Muhammad Razman Abu Samah; Pengurus Besar MADA, Zulkifli Romli; serta wakil MADA, MMC Engineering, Ranhill, SMEC dan VAG Malaysia.
Kerjasama semua pihak dalam proses pemeriksaan dan pengesahan ini penting bagi memastikan peralatan yang dibekalkan memenuhi piawaian kerajaan serta standard antarabangsa sebelum digunakan dalam projek pemulihan empangan tersebut – The Capital Post