Imigresen Lahad Datu Meriahkan Hari Sukan Negara 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

LAHAD DATU 12 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sambutan Hari Sukan Negara 2026 di Pejabat Imigresen Lahad Datu berlangsung meriah menerusi pelbagai aktiviti kecergasan yang menggalakkan amalan hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan dan keluarga mereka.

Program bertemakan “Malaysia Aktif” itu dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lahad Datu pada 10 Oktober lalu, dengan penyertaan seramai 50 peserta terdiri daripada pegawai, kakitangan serta ahli keluarga.

Aktiviti bermula seawal jam 6 pagi di perkarangan pejabat berkenaan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian oleh Ketua Imigresen Pejabat Imigresen Lahad Datu, sebelum peserta mengikuti sesi senamrobik.

Program diteruskan dengan acara Brisk Walk atau larian santai sejauh dua kilometer, yang bermula dan berakhir di pejabat tersebut dengan laluan merentasi kawasan sekitar Taman Bandar Lahad Datu. Jamuan ringan turut diadakan sebagai penutup program.

-Advertisement-

Penganjuran ini mencerminkan sokongan warga Pejabat Imigresen Lahad Datu terhadap usaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia menggalakkan masyarakat menjadikan Oktober sebagai bulan yang menitikberatkan aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat.

Selain meningkatkan kecergasan, program berkenaan turut menyumbang kepada pembentukan semangat berpasukan, motivasi kerja dan hubungan kekeluargaan yang lebih erat dalam kalangan warga jabatan – The Capital Post