SETIA ALAM 13 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh budaya inovasi dalam sektor kesihatan menerusi Majlis Penutup Hari Inovasi KKM dan Penyampaian Hadiah Anugerah Inovasi KKM (AIKKM) 2026 yang berlangsung di National Institutes of Health (NIH), semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam bin Ahmad, yang mewakili Menteri Kesihatan. Penganjuran AIKKM 2026 bertemakan “Sinergi Inovasi: Memperkasa Pasaran, Memartabat Perkhidmatan” berjaya menghimpunkan sebanyak 160 penyertaan dalam empat kategori, iaitu Produk, Proses, Perkhidmatan dan Teknologi.
Dalam ucapannya, Hasnol menegaskan bahawa inovasi memainkan peranan penting dalam mentransformasikan sistem kesihatan negara, khususnya bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Beliau turut menekankan keperluan memperluas pengkomersialan hasil penyelidikan, memanfaatkan harta intelektual sebagai aset strategik kementerian serta memperkukuh inovasi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan peranti perubatan import.
Bagi kategori Produk, Kit Ujian Segera Kualiti Minyak (I-FFA) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu muncul sebagai pemenang. Kategori Proses pula dimenangi oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Bukit Mertajam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menerusi projek DIGID: Connecting Every Step, Protecting Every Patient.
-Advertisement-
Bagi kategori Perkhidmatan, Enhanced Diabetes Program (EDP) oleh Klinik Kesihatan Rawang, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dipilih sebagai pemenang. Sementara itu, kategori Teknologi dimenangi oleh Unit Penyelidikan dan Inovasi Kesihatan Digital, Institut Penyelidikan Klinikal, NIH menerusi inovasi AI-CORUL.
Selain penyampaian hadiah, majlis turut merangkumi lawatan ke reruai yang mempamerkan hasil inovasi peserta serta pameran daripada rakan kolaborator yang terlibat. Program ini menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti warga KKM dan menggalakkan penerapan penyelesaian inovatif dalam perkhidmatan kesihatan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Noor Afifah Abdul Razak; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr. Azuana Ramli; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ts. Zailina Abdul Majid; serta Pengurus NIH, Dr. Fazliana Manor – The Capital Post