MTEN Teliti Ekonomi Kitaran dan Pusat Data Lestari

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 13 Oktober 2026 (The Capital Post) – Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 2/2026 bagi membincangkan dua inisiatif strategik berkaitan pembangunan ekonomi mampan negara.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) Malaysia serta hala tuju strategik pembangunan pusat data lestari, dengan penekanan terhadap penggunaan sumber secara optimum, pengurangan sisa dan pengukuhan industri tempatan.

Perbincangan mengenai sektor pusat data turut mengambil kira keperluan memastikan pertumbuhannya seimbang dengan kapasiti bekalan tenaga dan air negara, sejajar dengan aspirasi pembangunan yang bertanggungjawab serta berdaya tahan untuk jangka panjang.

-Advertisement-

Kedua-dua inisiatif berkenaan memerlukan penyelarasan dasar yang menyeluruh serta kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

Menteri Ekonomi bersama ahli mesyuarat EXCO bersetuju supaya kedua-dua kertas cadangan tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat MTEN yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk pertimbangan dan keputusan selanjutnya ke arah pembangunan negara yang mampan dan lestari – The Capital Post