KPM Perkemas Pengurusan Peruntukan Penyelenggaraan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempergiat usaha meningkatkan kecekapan pengurusan peruntukan penyelenggaraan institusi pendidikan menerusi penyelarasan prestasi perbelanjaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui Sesi Libat Urus Penyelarasan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Penyelenggaraan KPM pada 15 Oktober 2026, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Nik Husni bin Nik Soh.

Sesi berkenaan turut disertai jurutera dan penolong jurutera dari seluruh daerah di Selangor bagi memperkukuh penyelarasan pelaksanaan kerja penyelenggaraan serta memastikan penggunaan peruntukan dibuat secara cekap, berhemah dan berorientasikan hasil.

Menurut BPA, keberkesanan pengurusan peruntukan bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah perbelanjaan, malah turut mengambil kira kualiti kerja, pematuhan spesifikasi, kemajuan pelaksanaan dan manfaat yang diterima oleh institusi pendidikan.

-Advertisement-

Sehubungan itu, pemantauan berterusan terhadap prestasi perbelanjaan dan penyempurnaan projek penyelenggaraan kecil mengikut tempoh ditetapkan terus diberi perhatian bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum.

Kerjasama erat antara BPA, JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga penting untuk mempercepat pelaksanaan kerja serta memastikan kemudahan dan infrastruktur pendidikan sentiasa berada dalam keadaan selamat, kondusif dan berkualiti.

BPA merakamkan penghargaan kepada warga JPN Selangor, PPD dan semua pihak yang terlibat atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan sesi berkenaan, selaras dengan usaha memastikan setiap peruntukan penyelenggaraan memberikan manfaat berterusan kepada warga pendidikan dan pembangunan pendidikan negara – The Capital Post