PUTRAJAYA 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Penganjuran Pertandingan Seni Bahasa Kementerian Pendidikan Malaysia (PETAH KPM) 2026 Peringkat Kebangsaan terus memperkukuh peranan bahasa sebagai medium perpaduan, selain membina keyakinan dan mengembangkan potensi murid serta pelajar menerusi pelbagai aktiviti seni berbahasa.
Program yang berlangsung dari 12 hingga 15 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu berakhir dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Bertemakan “Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI”, pertandingan berkenaan menyediakan ruang kepada peserta untuk menyerlahkan bakat, mengasah kreativiti serta meningkatkan kemahiran komunikasi dalam suasana yang menggalakkan pemikiran kritis dan perbahasan secara matang.
Sebanyak 16 acara dipertandingkan dengan penyertaan daripada sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej matrikulasi. Kepelbagaian kategori tersebut membolehkan peserta daripada pelbagai peringkat pendidikan mengetengahkan kebolehan masing-masing dalam seni penggunaan bahasa.
-Advertisement-
Selain mengembangkan potensi individu, PETAH KPM 2026 turut menekankan kepentingan komunikasi yang santun serta penggunaan bahasa untuk membina persefahaman dalam kalangan generasi muda, selaras dengan usaha memupuk semangat perpaduan masyarakat.
Penganjuran ini diharap dapat terus melahirkan generasi yang yakin berkomunikasi, berfikiran kritis dan menghargai bahasa sebagai asas kepada keharmonian serta perpaduan negara – The Capital Post