GENTING HIGHLANDS 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh daya saing serta kemampanan industri sawit negara menerusi pemodenan teknologi, inovasi dan kerjasama strategik bersama pemain industri.
Perkara itu disampaikan menerusi ucapan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang diwakili Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 Persatuan Pengilang Minyak Sawit (POMA) di Genting Highlands pada 17 Oktober lalu.
Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan keperluan kilang sawit mengadaptasi automasi, teknologi digital dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengawal kos serta mempertingkatkan kualiti pengeluaran minyak sawit.
Bagi menyokong usaha berkenaan, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan teknologi, termasuk penerokaan potensi biojisim dan biogas sebagai sumber tenaga serta peluang menjana pendapatan tambahan kepada industri.
-Advertisement-
Kerjasama antara pengilang dengan pekebun kecil turut diberi perhatian bagi meningkatkan mutu hasil, memperkukuh kebolehkesanan rantaian bekalan dan menyokong pelaksanaan pensijilan kemampanan dalam sektor sawit.
Sempena ulang tahun ke-35 POMA, KPK turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan persatuan itu dalam pembangunan industri sawit negara serta menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama strategik demi memastikan sektor berkenaan kekal berdaya saing, inovatif dan mampan – The Capital Post