ALOR GAJAH 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) terus memperluas akses kepada latihan dan pembangunan kemahiran menerusi penganjuran Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ – Dari Dasar ke Rakyat yang berlangsung di Alor Gajah, Melaka, pada 18 Oktober lalu.
Program yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan itu merupakan siri keenam penganjurannya, sekali gus menyediakan platform interaksi antara kerajaan, majikan dan masyarakat bagi membincangkan keperluan latihan, cabaran pekerjaan serta pembangunan kerjaya.
Dalam ucapannya, Ramanan menekankan bahawa dasar dan inisiatif kerajaan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat. Pendekatan tersebut penting bagi memastikan masyarakat memahami serta memanfaatkan peluang peningkatan kemahiran yang disediakan untuk memperkukuh kebolehpasaran dan daya saing tenaga kerja.
Di Melaka, ekosistem HRD Corp merekodkan sebanyak 2,867 majikan berdaftar yang melibatkan 133,171 pekerja. Selain itu, sebanyak 6,995 permohonan geran latihan telah diluluskan, merangkumi 39,489 tempat latihan, manakala 24,729 peserta telah menerima latihan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.
-Advertisement-
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz, pula menegaskan bahawa latihan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang selari dengan keperluan industri. Usaha tersebut bukan sahaja berpotensi meningkatkan produktiviti, malah menyokong perkembangan kerjaya pekerja dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Inisiatif ini turut melengkapi pelaksanaan National Training Week (NTW) 2026 yang menyediakan lebih 8,000 kursus percuma menerusi portal NTW untuk dimanfaatkan rakyat Malaysia, sekali gus memperluas peluang pembelajaran dan peningkatan kemahiran kepada pelbagai lapisan masyarakat – The Capital Post