BANGI 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi terus mempergiat usaha mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi penganjuran Bengkel Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 yang berlangsung selama dua hari, pada 16 dan 17 Oktober lalu di Hotel Tenera, Bangi.
Penganjuran bengkel ini merupakan langkah strategik kementerian dalam memastikan pelaksanaan projek RKB berjalan dengan lebih berkesan, di samping memperkemas pemantauan serta pelaporan perkembangan projek bagi menyokong agenda penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Antara fokus utama bengkel tersebut termasuk memperkukuh pelaksanaan inisiatif RKB, mengemas kini status kemajuan projek, memperkenalkan penggunaan Kecerdasan Buatan Generatif (Generative AI) dalam pelaksanaan projek serta membantu pemilik projek menyediakan slaid pembentangan dan meningkatkan kemahiran penyampaian masing-masing.
Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi merangkap Ketua Pegawai Reformasi (Chief Reform Officer, CRO), YBrs. Encik Nasaruddin bin Abdul Muttalib, yang turut menyampaikan ucapan penutupan dan merumuskan hasil pelaksanaan bengkel. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Ekonomi, YBrs. Dr. Nor Azlina binti Ariffin, serta Pengarah Seksyen Daya Saing Negara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Mohammed Alamin Rehan.
-Advertisement-
Bengkel tersebut turut disertai Timbalan Pengarah Seksyen Daya Saing Negara MPC, Puan Shahriza Bahari, bersama barisan penceramah dan pembimbing daripada MPC yang memberikan panduan serta sokongan kepada peserta sepanjang program berlangsung.
Penyertaan turut melibatkan pegawai dan wakil daripada pelbagai bahagian serta agensi di bawah Kementerian Ekonomi, termasuk Bahagian Pembangunan (BP), Bahagian Strategik (BPST), Unit Pangkalan Data Utama (PADU), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Yayasan Peneraju dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Melalui penganjuran bengkel ini, Kementerian Ekonomi berharap agar penyelarasan pelaksanaan projek, kualiti pelaporan dan penggunaan teknologi baharu dapat dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif reformasi birokrasi terus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berkesan. – The Capital Post