PUTRAJAYA 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganjurkan simposium bertemakan “Why AI? Why Not You: AI Menjawab, Insan Memahami” bagi meningkatkan pemahaman mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap kesejahteraan psikologi serta kesiapsiagaan warga kerja menghadapi perubahan teknologi.
Simposium yang berlangsung di Dewan Sri Lestari, KKDW itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad. Program berkenaan dianjurkan oleh Cawangan Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, dengan penyertaan seramai 200 ahli AKRAB daripada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Penganjuran simposium ini memberi ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam hubungan antara perkembangan teknologi AI, kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, khususnya dalam menghadapi perubahan cara kerja serta cabaran kehidupan pada era digital.
Menerusi sesi Bicara Psikologi bersama penceramah jemputan, peserta didedahkan kepada pelbagai isu berkaitan kesihatan mental, cabaran emosi ketika beradaptasi dengan teknologi AI serta hubungan antara pemikiran manusia, teknologi dan nilai kemanusiaan.
-Advertisement-
Perbincangan tersebut turut menekankan kepentingan mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi dengan keperluan manusia, terutama dalam memastikan aspek emosi, empati dan hubungan sesama insan tidak diketepikan seiring kemajuan digital.
Selain meningkatkan kesedaran tentang impak AI, program ini turut memperkukuh peranan Pegawai Psikologi dan ahli AKRAB dalam menyediakan sokongan psikologi yang berteraskan empati, kefahaman dan nilai kemanusiaan kepada warga kementerian serta agensi.
Melalui inisiatif seumpama ini, KKDW berusaha memastikan warga kerjanya lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi tanpa mengabaikan kesejahteraan mental dan emosi. Pendekatan yang menggabungkan pemahaman teknologi dengan sokongan kemanusiaan diharap dapat membantu membentuk persekitaran kerja yang lebih seimbang dan menyokong kesejahteraan warga secara menyeluruh – The Capital Post