KOTA KINABALU 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad bin Alamin, meninjau persiapan tapak Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berkenaan.
Tinjauan yang diadakan pada malam 22 Oktober itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan lokasi, kemudahan yang disediakan serta pengisian program menjelang pembukaan karnival yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan segala persiapan berada pada tahap yang baik bagi memberikan pengalaman yang selesa dan bermanfaat kepada usahawan serta pengunjung yang hadir.
Karnival HPM Edisi Sabah dianjurkan sebagai platform untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan, selain membuka peluang kepada mereka untuk memperluas jaringan perniagaan serta mendekati pengguna secara langsung.
-Advertisement-
Orang ramai dijemput mengunjungi karnival yang berlangsung di Lintasan Deasoka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran. Pelbagai pengisian disediakan bagi menarik penyertaan masyarakat, termasuk aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.
Penganjuran karnival ini turut memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan keterlihatan produk mereka, mengembangkan potensi pasaran dan memperkukuh kedudukan dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif.
Melalui slogan “Bikin lokal jadi hebat, usahawan onsoiii”, Karnival HPM Edisi Sabah diharap dapat menyemarakkan sokongan terhadap produk tempatan serta menggalakkan lebih ramai rakyat meneroka peluang keusahawanan – The Capital Post