PUTRAJAYA, 27 Oktober 2026 – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Kualiti Program Kesihatan Awam Tahun 2026 serta Majlis Penyampaian Amanat kepada Pegawai Kesihatan Daerah yang berlangsung di Putra Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Majlis anjuran Program Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menghimpunkan warga kesihatan awam dari seluruh negara bagi mengiktiraf pencapaian, komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Penganjuran tersebut turut bertujuan menyemarakkan budaya kecemerlangan, inovasi dan penambahbaikan kualiti secara berterusan, khususnya dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan primer serta usaha pencegahan penyakit.
Dalam amanatnya, Dzulkefly menegaskan bahawa kejayaan sistem kesihatan negara bukan sahaja bergantung pada keupayaan merawat pesakit, malah turut ditentukan oleh keberkesanan usaha melindungi masyarakat daripada ancaman penyakit. Oleh itu, pendekatan kesihatan awam perlu terus diperkasakan sebagai tonggak strategik sistem kesihatan negara, seiring dengan perkhidmatan klinikal bagi memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman kesihatan pada masa hadapan, termasuk kemungkinan kemunculan ancaman penyakit baharu seperti Penyakit X.
Sehubungan itu, warga kesihatan awam digalakkan memanfaatkan sains data, analitik data raya, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, penilaian risiko serta perancangan intervensi kesihatan yang lebih tepat dan berkesan.
Transformasi kesihatan awam juga perlu beralih daripada pendekatan berasaskan penyakit kepada pendekatan berasaskan risiko, di samping memperkukuh perkhidmatan berteraskan komuniti dan mengurangkan kebergantungan terhadap pendekatan yang hanya tertumpu kepada hospital.
Pegawai Kesihatan Daerah memainkan peranan penting dalam menterjemahkan dasar dan strategi nasional kepada tindakan di lapangan, termasuk memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan daerah, memantau penyakit, mempromosikan pemakanan sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan kesihatan mental dalam komuniti.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para pemenang Pertandingan Kualiti dan Pertandingan Inovasi Kesihatan Awam dalam beberapa kategori utama, merangkumi penglibatan di peringkat komuniti, perkhidmatan di fasiliti kesihatan awam serta teknologi dan digitalisasi kesihatan awam.
Dalam kategori Kualiti bagi penglibatan komuniti, projek dari Terengganu bertajuk “Meningkatkan Peratus Kawalan Berkesan bagi Kes Infestasi Paederus fuscipes (Kumbang Charlie) di Sekolah Berasrama Daerah Besut” meraih tempat pertama. Projek saringan kontak tuberkulosis pulmonari dari Johor dan pengurusan berat badan dalam kalangan remaja berlebihan berat badan serta obesiti dari Kedah turut menerima pengiktirafan.
-Advertisement-
Bagi kategori Kualiti di fasiliti kesihatan awam, projek MINDCARE dari Klinik Kesihatan Sultan Ismail, Johor Bahru, muncul sebagai pemenang tempat pertama menerusi usaha meningkatkan peratusan pesakit dengan gangguan mental biasa yang menerima penjagaan kesihatan mental komprehensif. Projek pengurangan kebergantungan berlebihan terhadap ubat agonis beta-2 bertindak singkat (SABA) dalam kalangan pesakit asma di klinik sama turut mendapat pengiktirafan.
Dalam kategori Inovasi bagi penglibatan komuniti, antara projek yang menerima pengiktirafan ialah MySEE Kit dari Terengganu, Sekolah Angkat: The Outreach (SATO) dari Negeri Sembilan dan Kad Kupon dalam Meningkatkan Penglibatan Peserta dalam Aktiviti Promosi Kesihatan dari Perlis.
Sementara itu, projek Bawa Balik For You (BB4U) dari Perak meraih tempat pertama bagi kategori Inovasi di fasiliti kesihatan awam, diikuti projek Wound Care 360 dan TB-TRACE, kedua-duanya dari Kedah.
Dalam kategori teknologi dan digitalisasi, Sistem Informasi Kawalan Kualiti (SIKK PLUS): Transformasi Digital Perkhidmatan Makmal Kesihatan Awam menerima tempat pertama bagi kategori Kualiti. Bagi kategori Inovasi, projek AURA BIN dari Selangor meraih tempat pertama, diikuti Easy Pre-packing Organise Efficient Top-up System Pro (E-POCKET PRO) dari Negeri Sembilan di tempat kedua dan Integris-P dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di tempat ketiga.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut meraih tempat pertama dalam Pertandingan Video TikTok, yang menjadi medium kreatif untuk menyampaikan mesej kesihatan awam kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih menarik dan sesuai dengan perkembangan komunikasi digital.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh pemenang Pertandingan Nyanyian Ekspresi Dirimu serta persembahan tarian oleh pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM). Pengisian tersebut mengetengahkan kepentingan kreativiti, bakat dan kesejahteraan psikososial dalam membina persekitaran kerja yang positif serta menyokong kecemerlangan organisasi.
KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan penyakit, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperluas pendekatan kesihatan berteraskan komuniti melalui kerjasama seluruh warga kesihatan awam. Pencapaian yang diraikan menerusi majlis ini diharap menjadi pemangkin kepada perkongsian amalan terbaik, penghasilan inovasi berimpak tinggi dan penambahbaikan berterusan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, YBrs. Dr. Noraryana binti Hassan; serta pengarah bahagian, pengarah kesihatan negeri dan Pegawai Kesihatan Daerah dari seluruh negara. – The Capital Post