KKR Perkukuh Pengurusan MBJ

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, 27 Oktober 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah mengadakan lawatan penanda aras Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (PSUKNS) bagi mempelajari amalan terbaik dalam pengurusan dan pelaksanaan MBJ.

Lawatan yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri, Seremban pada 26 Oktober 2026 itu disertai 19 orang delegasi KKR yang diketuai Ketua Penolong Setiausaha BPSM KKR, Encik Ahmad Salwadi bin Salleh.

Pihak PSUKNS pula diwakili Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Encik Zairil Azwan bin Zulmuji, bersama pegawai serta wakil pekerja MBJ PSUKNS.

Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, khususnya dalam pengurusan usul, pemantauan penyelesaian isu serta pengukuhan kerjasama antara pihak pengurusan dengan wakil pekerja.

Antara perkara utama yang diketengahkan ialah kepentingan nilai keterbukaan, kepercayaan dan kesediaan kedua-dua pihak sebagai asas untuk memastikan MBJ berfungsi dengan berkesan sebagai platform komunikasi dua hala antara pengurusan dan warga kerja.

-Advertisement-

Selain itu, penekanan turut diberikan kepada keperluan menangani isu-isu kecil yang dibangkitkan oleh pekerja secara sewajarnya. Walaupun kelihatan remeh, isu sedemikian berpotensi mempengaruhi kebajikan, motivasi dan kesejahteraan warga kerja sekiranya tidak diberikan perhatian.

Sesi lawatan itu turut menyediakan ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam usaha mengenal pasti pendekatan yang boleh ditambah baik bagi memperkukuh pengurusan dan pelaksanaan MBJ di KKR.

KKR merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PSUKNS atas kesudian menerima kunjungan delegasi serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh hubungan harmoni antara pihak pengurusan dengan pekerja. – The Capital Post