Pusat Reintegrasi Bagan Datuk Bernilai RM123 Juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Projek pembinaan Pusat Reintegrasi Bagan Datuk, Perak, bernilai RM123 juta bakal memperkukuh infrastruktur keselamatan negara, khususnya dalam menyokong pelaksanaan program pemulihan dan reintegrasi penghuni ke dalam masyarakat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek bagi projek pembinaan pusat berkenaan yang menggunakan kaedah reka dan bina pada 26 Oktober 2026.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Puan Ainah binti Mohd Soon.

Projek di bawah KDN itu dibangunkan di atas tapak seluas 66.367 ekar dengan konsep agro penjara dan berkapasiti menempatkan sehingga 400 orang prospek pada satu-satu masa. Tempoh pelaksanaannya ditetapkan selama 42 bulan dan projek tersebut dijangka siap pada Mei 2030.

-Advertisement-

Pembinaan pusat ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan di penjara konvensional, selain menyediakan persekitaran pemulihan yang lebih kondusif, selamat dan bersepadu bagi menyokong proses reintegrasi penghuni ke dalam masyarakat.

Selain kemudahan utama, pembangunan tersebut turut merangkumi kuarters kediaman kakitangan bagi menyokong kelancaran operasi serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota yang bertugas.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia terus komited memastikan projek infrastruktur awam dilaksanakan dengan berkualiti, cekap dan berkesan bagi menyokong agenda pembangunan negara serta aspirasi Kerajaan MADANI. – The Capital Post