Kuala Lumpur, 28 Oktober 2026 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneroka peluang kerjasama strategik bersama Yayasan Sime Darby bagi memperkasa belia daripada institusi perlindungan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, menerima kunjungan hormat delegasi Yayasan Sime Darby di Parlimen pada 27 Oktober 2026.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses belia di institusi perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada latihan kemahiran serta peluang pekerjaan bagi membantu mereka membina kehidupan yang lebih berdikari selepas tamat tempoh perlindungan.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk penyediaan latihan kemahiran praktikal, pembinaan sahsiah, bimbingan kerjaya dan peluang penempatan pekerjaan. Pendekatan ini bertujuan membantu golongan berkenaan meningkatkan kebolehpasaran serta mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan.
-Advertisement-
KPWKM menyambut baik usaha kerjasama tersebut yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada belia daripada institusi perlindungan untuk membina masa depan yang lebih baik.
Pertemuan itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Puan Rosmahwati Ishak, dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron.
Kerjasama strategik antara kerajaan dengan pihak swasta seperti ini berpotensi memperluas sokongan terhadap pembangunan kemahiran dan kebajikan golongan sasar, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. – The Capital Post