KKM Perkukuh Sistem Pendermaan dan Transplan Organ Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 3 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kadar pendermaan organ dan memperkukuh kapasiti perkhidmatan transplan bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat akses kepada rawatan yang diperlukan.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Transplan Kebangsaan (MTK) Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, di Ibu Pejabat KKM pada Selasa.

Mesyuarat tersebut meneliti hala tuju strategik serta pengukuhan tadbir urus perkhidmatan pendermaan organ dan transplan di Malaysia.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memperluas kempen kesedaran awam dan inisiatif advokasi berkaitan pendermaan organ dan tisu (ODTP), selain meningkatkan keupayaan perkhidmatan transplan negara.

Turut dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan kerangka kerja nasional, penyelarasan kerjasama antara agensi serta aspek perundangan dan etika bagi memastikan perkhidmatan transplan dilaksanakan secara selamat, telus dan berintegriti.

-Advertisement-

Langkah tersebut bertujuan memperkukuh ekosistem pendermaan dan transplan organ negara, di samping meningkatkan peluang pesakit yang memerlukan untuk mendapatkan rawatan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Noor Afifah Abdul Razak; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari; serta Pengarah Pusat Transplan Kebangsaan, Dr. Mohd Syafiq Ismail Azman.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr. Nurain Mohd Noor, serta Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi), Dr. Azuana Ramli, turut menyertai mesyuarat secara dalam talian.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh sistem pendermaan dan transplan organ bagi meningkatkan akses rawatan serta memberi peluang kedua untuk kehidupan kepada pesakit yang memerlukan – The Capital Post