PUTRAJAYA, 3 November 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Finland meneroka peluang memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara, bersama Duta Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Eksport Perkhidmatan serta Jenama Pengguna Kementerian Luar Negeri Finland, Outi Hakanen, pada 2 November lalu.
Pertemuan itu turut disertai delegasi Kedutaan Finland dan barisan kepimpinan institusi pendidikan tinggi negara berkenaan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah peluasan kerjasama dalam pembangunan modal insan, penyelidikan bersama dan pemindahan kepakaran bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik kurikulum institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti Elektrik dan Elektronik (E&E), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pensijilan mikrokredensial bertaraf antarabangsa.
-Advertisement-
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mengenal pasti potensi kerjasama melalui peluasan program mobiliti pelajar dan ahli akademik, penyelidikan bersama serta pembentukan jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global yang berdaya saing.
Kerjasama itu juga diharap dapat memperluas akses kepada pengetahuan, teknologi dan inovasi antarabangsa, selain meningkatkan keterlihatan serta reputasi institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama akademik antarabangsa bagi meningkatkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara – The Capital Post