KPT Mahu Kepimpinan Wanita Dinilai Berdasarkan Merit, Bukan Kuota

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANDAR ENSTEK, 3 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu institusi pendidikan tinggi (IPT) memperluas peluang kepimpinan wanita berdasarkan keupayaan, merit dan proses pemilihan yang adil, bukan semata-mata bagi memenuhi sasaran kuota perwakilan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia mempunyai ramai wanita berkelayakan untuk menerajui organisasi, namun institusi perlu mengenal pasti bakat lebih awal dan menyediakan laluan pembangunan kepimpinan yang bersesuaian.

Menurut beliau, perwakilan wanita dalam kepimpinan pelapis universiti awam, termasuk jawatan dekan dan pengarah pusat, kini mencapai 46 peratus.

Bagaimanapun, perwakilan wanita di peringkat kepimpinan tertinggi yang merangkumi jawatan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan jawatan setaraf masih berada pada 26 peratus.

Beliau berkata, usaha perlu diteruskan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita di semua peringkat organisasi.

Zambry berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Graduasi Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan, pada Selasa.

-Advertisement-

Program berkenaan meraikan 44 peserta daripada 20 universiti awam yang mengikuti latihan pembangunan kepimpinan wanita merangkumi kepimpinan strategik, pembinaan keyakinan, pengukuhan kompetensi dan bimbingan profesional.

SheLeads 2026 merupakan program pembangunan kepimpinan nasional pertama seumpamanya yang dikhususkan kepada ahli akademik dan pentadbir wanita dalam sektor pendidikan tinggi.

Program itu dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu siri webinar dari Mac hingga Mei, latihan intensif secara bersemuka pada Jun serta sesi pementoran dan libat urus bersama pemimpin kanan industri dari Ogos hingga Oktober 2026.

Zambry turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, pementoran dan sokongan institusi dalam melahirkan barisan pelapis kepimpinan wanita yang berwibawa.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, pembangunan kepimpinan wanita perlu dilaksanakan secara inklusif dengan sokongan semua pihak tanpa mengira gender, bagi memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara – The Capital Post