Lebih 51,000 Pekerja Terima Manfaat Dasar Gaji Progresif

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 November 2026 (The Capital Post) – Seramai 51,363 pekerja daripada 4,025 majikan telah menerima manfaat Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga 23 September 2026, melibatkan insentif kerajaan berjumlah RM99.51 juta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pelaksanaan dasar itu telah meningkatkan median gaji pekerja peringkat permulaan sebanyak 16 peratus, daripada RM1,900 kepada RM2,200.

Beliau berkata, pekerja bukan peringkat permulaan pula mencatatkan peningkatan median gaji sebanyak 11 peratus, daripada RM2,199.15 kepada RM2,438.

Perkara itu dimaklumkan ketika beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Haji Mohd Suhaimi Abdullah, di Dewan Rakyat pada Selasa berhubung pelaksanaan DGP, perlindungan pekerja gig dan kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Dalam aspek perlindungan sosial, Khairul Firdaus memaklumkan bahawa seramai 1.28 juta pekerja gig telah berdaftar dan mendapat perlindungan di bawah Skim LINDUNG Kendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 18 September 2026.

Perlindungan itu turut dikaitkan dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang bertujuan memperkukuh perlindungan golongan pekerja berkenaan.

-Advertisement-

Sementara itu, bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan akibat perkembangan AI, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperluas usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja melalui platform MyMAHIR.my, MyMahir SkillsLab, Akademi Dalam Industri (ADi) serta program latihan HRD Corp.

Kerajaan turut menyediakan geran berjumlah RM100 juta bagi pelaksanaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi, termasuk dalam bidang AI.

Selain itu, lebih 120 standard kemahiran berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) telah dibangunkan untuk pelaksanaan di 1,615 Pusat Bertauliah di seluruh negara.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Sumber Manusia, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kementerian memperkukuh dasar penggajian, memperluas perlindungan sosial pekerja gig serta meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi perubahan teknologi dan keperluan industri – The Capital Post