SUNGAI BULOH, 4 November 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh profesion pengajar dan latihan kesihatan digital menerusi peningkatan peruntukan latihan serta pelaburan dalam peralatan simulasi klinikal bagi melahirkan tenaga kesihatan yang cekap dan berdaya saing.
Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyampaikan perkara tersebut ketika merasmikan Sambutan Hari Pengajar KKM Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh baru-baru ini.
Bertemakan “Memperkasakan Pengajar, Mendepani Pendidikan Kesihatan Digital”, sambutan itu memberi penghormatan kepada 1,012 warga pengajar KKM yang memainkan peranan penting sebagai pendidik dan pengamal klinikal dalam membangunkan modal insan sektor kesihatan negara.
Menerusi Belanjawan MADANI 2027, peruntukan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion, termasuk RM611.74 juta bagi pengurusan latihan berbanding RM582.95 juta sebelum ini. Peruntukan biasiswa latihan turut meningkat kepada RM320 juta, manakala RM19.38 juta disediakan untuk menaik taraf projek latihan.
Selain itu, sebanyak RM27 juta diperuntukkan bagi penyediaan peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas baharu di 18 ILKKM. Kemudahan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelatih dan petugas kesihatan.
Dalam usaha menyokong pelaksanaan latihan klinikal, kerajaan turut meluluskan Elaun Sara Hidup sebanyak RM450 sebulan berserta kemudahan tuntutan pengangkutan, berkuat kuasa 1 September 2026. Inisiatif ini bertujuan menyokong lebih 5,800 pegawai yang akan beralih kepada latihan di tempat kerja atau On-the-Job Training (OJT) pada Mac 2027.
-Advertisement-
KKM turut mengalu-alukan pelantikan 158 pengajar baharu daripada 197 tawaran yang dikeluarkan pada Oktober 2026 bagi memperkukuh kapasiti tenaga pengajar kementerian.
Sambutan kali ini turut mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan warga pengajar menerusi penyampaian Anugerah Pengajar Perdana, Anugerah Pengajar Wawasan, Anugerah Pengajar Harapan dan Anugerah Penyelidikan Terbaik.
KKM menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan profesion pengajar serta meningkatkan kualiti latihan kesihatan demi memastikan sistem kesihatan negara mempunyai tenaga kerja yang bersedia menghadapi keperluan perkhidmatan pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, serta barisan pengurusan tertinggi kementerian dan pengurusan ILKKM Sungai Buloh. – The Capital Post