PUTRAJAYA, 4 November 2026 – Kerintangan antimikrob (Antimicrobial Resistance – AMR) berpotensi menyebabkan sehingga 87,000 kematian berkaitan di Malaysia, selain mengakibatkan kerugian ekonomi kumulatif yang dianggarkan mencecah RM10.18 bilion.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia (World AMR Awareness Week – WAAW) 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Kompleks E, Putrajaya.
Menurut beliau, AMR merupakan antara ancaman utama kesihatan awam global yang berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, virus, kulat dan parasit tidak lagi memberikan tindak balas terhadap ubat antimikrob. Ancaman ini memerlukan tindakan bersama serta komitmen berterusan daripada semua pihak.
Unjuran kerugian ekonomi tersebut merangkumi peningkatan perbelanjaan kesihatan dan kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran bekerja serta kematian pramatang.
Program anjuran bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu turut mendapat kerjasama Malaysia One Health University Network (MyOHUN) dan United for Global Antimicrobial Stewardship (UGAS).
Penganjuran tahun ini turut menyaksikan pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu One Health Kebangsaan Bil. 1/2026 buat julung kalinya. Mesyuarat berkenaan bertujuan memperkukuh tadbir urus, perkongsian data dan penyelarasan tindakan antara sektor kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar.
Kerajaan juga meneruskan komitmen menangani AMR melalui Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Kerintangan Antimikrob (MyAP-AMR) 2022–2026, selain merangka pelan tindakan susulan bagi tempoh 2027–2031.
-Advertisement-
Bertemakan “One Health, One Action: Prevent AMR Now” atau “Satu Kesihatan, Satu Tindakan: Cegah AMR Sekarang”, kempen ini menekankan penglibatan seluruh masyarakat, khususnya golongan muda dan mahasiswa universiti, sebagai agen perubahan dalam meningkatkan kesedaran serta membendung ancaman AMR.
Masyarakat turut diseru mengamalkan empat tindakan utama, iaitu menggunakan antibiotik mengikut preskripsi doktor, menjaga kebersihan diri dan mencegah jangkitan, memastikan penggunaan antimikrob secara berhemat dalam sektor haiwan serta melupuskan ubat dan sisa farmaseutikal dengan betul melalui saluran yang disediakan, termasuk inisiatif MyMediSAFE.
Majlis turut diisi dengan lawatan ke reruai pameran kesihatan, persembahan khas, sesi ikrar belia oleh One Health Malaysia Youth Exchange Team, perbincangan panel bertajuk “Stories That Matter: Voices of AMR Survivors”, syarahan saintifik serta kuiz interaktif.
KKM bersama KPKM dan NRES akan terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi pendekatan Satu Kesihatan bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan AMR dilaksanakan secara bersepadu demi melindungi kesihatan manusia, keselamatan makanan, kesihatan haiwan serta kelestarian alam sekitar.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob; serta Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, YBrs. Dr. Norhayati binti Ibrahim. – The Capital Post