KUALA LUMPUR, 5 November 2026 (The Capital Post) – Penjenayah siber yang beroperasi di luar negara boleh dikenakan tindakan undang-undang di Malaysia sekiranya jenayah dilakukan membabitkan sistem di negara ini atau mangsanya merupakan warganegara Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan berkenaan dilakukan di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan turut menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa sedia ada bagi memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat, didakwa dan, jika memenuhi syarat, diekstradisi ke Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian menerusi jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung kecukupan kerangka perundangan sedia ada dalam menangani penipuan dalam talian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Soalan itu turut menyentuh ancaman penyamaran identiti, teknologi deepfake dan manipulasi digital, selain langkah memperkukuh peruntukan undang-undang bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket serta melindungi mangsa.
Menurut Ahmad Zahid, RUU Jenayah Siber 2026 yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), selain menangani jurang perundangan termasuk jenayah siber rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi AI.
Beliau berkata, Fasal 23 RUU berkenaan memperluas skop kesalahan penyamaran menggunakan sistem komputer bagi menangani ancaman deepfake yang semakin kompleks.
-Advertisement-
Katanya, teknologi tersebut berupaya menghasilkan video, imej dan suara palsu yang sukar dibezakan daripada bahan asli, sekali gus boleh digunakan untuk tujuan penipuan dan memperdaya orang awam.
Bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket jenayah siber, RUU itu turut menyediakan kuasa penyiasatan menerusi Fasal 38 hingga 41, meliputi pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi, tertakluk kepada mekanisme kawalan yang ditetapkan.
Ahmad Zahid berkata, kuasa berkenaan penting kerana bukti digital mudah dipadam, diubah suai atau dipindahkan dalam tempoh singkat, sekali gus memerlukan tindakan penyiasatan yang pantas dan responsif.
Dari aspek perlindungan mangsa, Fasal 54 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah bagi mencegah atau menghentikan pelanggaran undang-undang atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai yang diberi kuasa, sama ada suspek telah didakwa atau belum.
Antara perintah yang boleh dikeluarkan termasuk perintah pemberhentian, restitusi kepada mangsa, pematuhan serta sekatan harta bagi mengelakkan aset seperti wang hasil penipuan daripada dilesapkan.
Beliau berkata, penguatkuasaan RUU Jenayah Siber 2026 akan memperkasakan agensi penguatkuasaan melalui kuasa penyiasatan yang lebih responsif dan peruntukan bidang kuasa rentas sempadan bagi menyekat aktiviti jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian menggunakan AI. – The Capital Post