JASIN, 5 November 2026 (The Capital Post) – Keadaan kuala yang cetek dan dipenuhi mendapan lumpur serta kawasan tangkapan ikan yang semakin terhad terus menghimpit sumber pendapatan nelayan tradisional di Pantai Siring, Pulai, Jasin.
Situasi itu memaksa nelayan mengatur jadual turun ke laut mengikut keadaan pasang surut air kerana laluan muara yang cetek menyukarkan pergerakan bot untuk keluar dan masuk.
Seorang nelayan, Rizuan Abu Samah, 43, berkata keadaan muara yang dipenuhi mendapan lumpur ketika air surut menyebabkan bot berisiko tersangkut sekiranya mereka lewat pulang.
Menurutnya, waktu untuk turun ke laut juga berubah setiap hari, bergantung kepada paras air. Keadaan itu menyebabkan tempoh menangkap ikan menjadi singkat dan ada kalanya nelayan hanya berpeluang berada di laut selama sejam sebelum perlu kembali semula pada sebelah petang.
Selain masalah muara, beliau berkata struktur jeti yang dibina hampir 15 tahun lalu turut memerlukan penambahbaikan kerana keadaannya semakin uzur dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak.
Beliau turut berharap struktur penahan ombak di kawasan berkenaan dapat dipanjangkan bagi memberikan perlindungan lebih baik kepada laluan keluar masuk bot nelayan, terutama ketika laut bergelora.
Seorang lagi nelayan, Mohd Amin Mohd Yatim, 55, berkata keadaan kuala yang cetek dan berlumpur bukan sahaja menyukarkan pergerakan bot, malah berisiko menyebabkan kerosakan enjin serta struktur bot, sekali gus meningkatkan kos operasi.
-Advertisement-
Sementara itu, Raduan Bodot, 62, yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun sebagai nelayan, berkata kawasan tangkapan ikan yang semakin terhad turut menjejaskan kegiatan perikanan tradisional di kawasan tersebut.
Menurutnya, terdapat nelayan yang telah mengeluarkan modal besar untuk membeli bot dan peralatan menangkap ikan termasuk jaring, namun hasil tangkapan tidak setimpal dengan perbelanjaan berikutan kawasan menangkap ikan yang semakin terbatas.
Dalam perkembangan berkaitan, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman, berkata isu yang dihadapi komuniti nelayan Pantai Siring akan diberi perhatian sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata keluhan komuniti nelayan wajar diberi perhatian dan ditangani dengan sewajarnya memandangkan aktiviti perikanan merupakan sumber pendapatan utama mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November 2026 sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 10 November 2026. – The Capital Post