JOHOR BAHRU, 5 November 2026 (The Capital Post) – Polis sedang mengesan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai, yang menyebabkan sebuah kereta milik orang awam mengalami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada kira-kira 10.27 malam, Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tujuh lelaki tempatan yang bergaduh di luar pusat beli-belah berkenaan.
Insiden itu turut mengakibatkan sebuah kereta milik orang awam yang berada di kawasan sekitar mengalami kerosakan.
-Advertisement-
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian 07-5113622 atau 07-5114486, atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 13 saat yang memaparkan insiden pergaduhan itu tular di media sosial. – The Capital Post