Labuan Youth Dansa Menang Emas di WDF 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kumpulan tarian Labuan Youth Dansa berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam kategori Folklore pada Festival Tarian Dunia (WDF) 2026 yang berlangsung di Midland Convention Centre, Shah Alam, Selangor.

Kejayaan itu merupakan pencapaian sulung kumpulan berkenaan di pentas antarabangsa sejak penubuhannya oleh Majlis Belia Labuan (MBL).

Festival yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penyertaan sebanyak 144 peserta daripada 10 negara dan wilayah. India mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 47 peserta, diikuti Malaysia (40), Mongolia (21) dan Indonesia (18).

Turut mengambil bahagian ialah Qatar dengan enam penyertaan, Korea Selatan (lima), Rusia (tiga), Hong Kong, China (dua), serta Filipina dan Singapura masing-masing dengan seorang peserta.

Delegasi Labuan terdiri daripada 13 anggota, termasuk sembilan penari, seorang pengurus pasukan, seorang koreografer dan tiga petugas sokongan.

Dalam pertandingan itu, Labuan Youth Dansa mempersembahkan tarian tradisional Brunei menerusi interpretasi kreatif yang menggabungkan gerak tari asli dengan koreografi moden serta elemen etnik kontemporari tanpa mengabaikan identiti budaya asal.

-Advertisement-

Presiden MBL, Nazera Roslan berkata kejayaan tersebut membuktikan keupayaan, kreativiti dan potensi anak muda Labuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau menyifatkan kemenangan pingat emas dalam penampilan sulung kumpulan itu sebagai pencapaian bermakna buat Labuan Youth Dansa dan MBL, selain membuktikan seni tempatan serta warisan budaya negara mempunyai nilai dan daya tarikan di pentas dunia.

Nazera turut berharap kejayaan berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni dan kebudayaan.

Sementara itu, koreografer kumpulan, Dafi Chua berkata kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen, disiplin dan kerjasama seluruh pasukan dalam menggabungkan tarian tradisional Brunei dengan elemen moden tanpa menjejaskan identiti asal persembahan. – The Capital Post