KUALA LUMPUR 8 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Bank Rakyat memberi jaminan bahawa sistem serta operasi perbankannya terus berjalan seperti biasa, manakala data peribadi, maklumat perbankan dan simpanan pelanggan tidak terjejas susulan gangguan akses sementara yang berlaku pada portal korporatnya.
Dalam satu kenyataan, bank itu menjelaskan gangguan berkenaan hanya melibatkan laman web korporat dan berpunca daripada masalah teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
Sementara proses pemulihan akses laman web dilaksanakan, pelanggan masih boleh menjalankan urusan perbankan seperti biasa melalui beberapa saluran alternatif yang disediakan.
Antara platform yang boleh digunakan ialah laman web iRakyat, aplikasi perbankan mudah alih iRakyat, BRICK, QR2E serta portal perbankan perniagaan i-bizRAKYAT.
Bank Rakyat turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan serta menghargai kesabaran mereka sepanjang tempoh gangguan tersebut.
-Advertisement-
Menurut kenyataan itu, sebarang perkembangan terkini berkaitan pemulihan akses laman web korporat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Bank berkenaan menegaskan bahawa keselamatan dan kepentingan pelanggan kekal sebagai keutamaan dalam memastikan perkhidmatan perbankan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Semalam, portal korporat Bank Rakyat dilaporkan mengalami masalah capaian sementara, menyebabkan pelanggan dinasihatkan menggunakan saluran digital dan aplikasi mudah alih alternatif bagi meneruskan urusan perbankan. -The Capital Post