Banjir Kilat Taman Sri Muda, Tiada Pemindahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini di Taman Sri Muda, Seksyen 25, susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam dinaiki air petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata kejadian limpahan air turut dikesan di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 berdasarkan tinjauan yang dijalankan pihaknya.

Menurut beliau, keadaan di beberapa lokasi menunjukkan air yang melimpah ke jalan raya hanya melibatkan air longkang dan tiada penduduk dipindahkan dari kawasan terjejas.

Beliau turut memaklumkan hujan telah berhenti ketika kenyataan itu dikeluarkan, manakala keadaan cuaca masih mendung.

-Advertisement-

Dalam pada itu, JBPM Selangor sedang giat menjalankan pemantauan di beberapa kawasan lain yang dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk Jalan Kebun Bunga, Seksyen 22, Seksyen 13 dan Jalan Kebun.

Terdahulu, beberapa rakaman dan perkongsian mengenai kejadian banjir kilat di sekitar Shah Alam serta Klang tular di media sosial selepas hujan lebat yang berlaku antara pukul 3 hingga 5 petang.

Antara lokasi yang mendapat perhatian orang ramai ialah kawasan Taman Sri Muda dan sebuah pusat membeli-belah di Bukit Tinggi, Klang. – The Capital Post