GEORGE TOWN 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Empat vesel penangkapan ikan jenis pukat kenka ditahan selepas dikesan melanggar beberapa syarat lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan selatan Pulau Pinang pada Selasa lepas.
Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Azimah Jumatli berkata kesemua vesel berkenaan ditahan menerusi Ops Periksa yang dijalankan oleh Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Batu Maung.
Menurut beliau, sebanyak 15 vesel telah diperiksa sepanjang operasi tersebut sebelum empat daripadanya didapati melakukan kesalahan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti ialah kegagalan mengusahakan sendiri vesel seperti ditetapkan dalam syarat lesen, penggunaan rantai pada kajar bawah serta pemberat yang melebihi had dibenarkan.
Pemeriksaan turut mendapati terdapat vesel yang beroperasi bersama pasangan vesel tidak seperti ditetapkan, selain menggunakan saiz mata pukat pada bahagian keroncong yang lebih kecil daripada ukuran dibenarkan.
-Advertisement-
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan hari ini.
Azimah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat lesen oleh vesel penangkapan ikan yang beroperasi di perairan negara.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua pengusaha vesel mematuhi peraturan serta syarat lesen yang telah ditetapkan. – The Capital Post