Jen Endoro Meninggal Dunia Pada Usia 65 Tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU 10 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Industri seni tradisional Kelantan kehilangan seorang tokoh dikir barat apabila tukang karut dan penyanyi terkenal, Mohd Zain Ismail, 65, atau lebih dikenali sebagai Jen Endoro, meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Kampung Pulau Melaka di sini, pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.02 pagi, menurut anak bongsunya, Mohammad Faris Mohd Zain, 20, yang mengesahkan pemergian bapanya kepada Bernama.

Mohammad Faris berkata bapanya telah menghidap strok sejak empat tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka selepas solat Zohor hari ini.

-Advertisement-

Jen Endoro mula berkecimpung dalam bidang seni dikir barat sejak era 1970-an dan dikenali menerusi beberapa lagu popular, antaranya Mariani, Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore, Masliza, Anak Siapa Hok Lalu Tadi dan Jangan Ceroboh Hutan.

Pemergian beliau merupakan kehilangan buat seni dikir barat Kelantan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni dan budaya tradisional negeri itu. – The Capital Post