Amaran Banjir Dikeluarkan Bagi Jerantut dan Rompin Bermula Esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN 10 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Penduduk di beberapa kawasan rendah dan berisiko banjir di Jerantut dan Rompin, Pahang diminta meningkatkan kewaspadaan susulan ramalan kemungkinan berlakunya banjir bermula pukul 1 pagi esok hingga 11.59 malam, 14 November ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran tersebut berdasarkan ramalan kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan tahap Waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 8.30 pagi semalam serta model ramalan banjir JPS.

Di Jerantut, kawasan yang berisiko termasuk lokasi dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Pahang, antaranya Perumahan Felda Jengka 24 di Blok 11, Taman Ria, Perumahan Sungai Jan, Felda Gelanggi 1 dan 3, Kampung Baharu, Kampung Besul serta Kampung Jerangsang.

Turut disenaraikan ialah Kampung Sungai Siam, Kampung Lata Kasah, Kampung Kuala Pengau, Kampung Kuala Teh, Kampung Batu Balai, Kampung Sempadan, Felda Sungai Retang, Felda Padang Piol dan Kampung Paya Garuk.

Sementara itu, di Rompin, kawasan berisiko dalam lingkungan lima kilometer sekitar Lembangan Sungai Rompin melibatkan Kampung Aur, Kampung Meripoh, Kampung Tebu Hitam, Pantai Bernas, Kampung Ayau, Leban Chondong, Kampung Gading dan Kampung Sarang Tiong.

-Advertisement-

Beberapa kawasan rendah berhampiran Lembangan Sungai Pahang di Rompin turut berpotensi terjejas, termasuk Kampung Mikang, Kampung Buluh Nipis, Kampung Simpang Sepayang, Kampung Sepayang, Kampung Tengah, Kampung Tekek, Perumahan Murah Kampung Tekek, Kampung Serinkin serta Kampung Janglau 1, 2 dan 3.

PRABN memaklumkan kejadian banjir mungkin berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang diramalkan.

Sehubungan itu, penduduk khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana bagi menghadapi kemungkinan banjir. – The Capital Post