JOHOR BAHRU 10 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Dua individu ditemukan rentung manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta Mercedes yang dinaiki lima individu terbabas sebelum terbakar berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala ke Bakar Batu, awal pagi ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK I Razali Hussein berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kenderaan berkenaan dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan sebelum terbakar kira-kira 90 peratus.
Beliau berkata tiga daripada lima individu yang berada di dalam kenderaan itu berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan bomba.
Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun mengalami kelecuran pada bahagian kaki dan tangan sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
-Advertisement-
Seorang lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam, manakala seorang individu dilaporkan selamat.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan dan identiti mereka masih belum dikenal pasti. Kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Razali berkata operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.47 pagi. – The Capital Post