Polis Siasat Aksi Main Mercun di Tengah Jalan Ipoh

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH 10 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Polis Perak akan menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan sekumpulan individu bermain mercun di tengah jalan raya di Jalan Kuala Kangsar, di sini, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata pihak polis akan mengenal pasti individu yang terlibat serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak polis memandang serius perbuatan tersebut kerana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti bermain mercun di kawasan yang boleh mengganggu lalu lintas atau menjejaskan keselamatan masyarakat.

-Advertisement-

Katanya, sekiranya aktiviti berkenaan dilakukan bagi meraikan sesuatu perayaan, ia perlu dilaksanakan di lokasi yang sesuai dan tidak mengundang risiko kepada pengguna jalan raya serta orang awam.

Terdahulu, video berdurasi 36 saat memaparkan sekumpulan individu bermain mercun di tengah jalan raya di Jalan Kuala Kangsar mula tular sejak semalam.

Rakaman tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, manakala beberapa pengguna media sosial turut mengkritik tindakan berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab kerana berpotensi mengancam keselamatan orang awam. – The Capital Post