KUCHING, 11 November 2026 (The Capital Post) – Sebanyak tujuh projek pembangunan pelancongan di Sarawak bernilai RM52.66 juta diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP2 RMK13) bagi tahun 2027.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan bahawa kelulusan itu merangkumi enam projek sambungan dan satu projek baharu bagi memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri berkenaan.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembangunan RP2 RMK13 Tahun 2027 bagi MOTAC Sarawak yang berlangsung di Kuching pada Selasa.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surrendren Sathasivam, dengan tumpuan terhadap penyelarasan pelaksanaan projek serta pemantauan kemajuan pembangunan pelancongan di Sarawak.
Menurut MOTAC, sebanyak 12 projek bernilai RM43.96 juta turut diluluskan di bawah RMK13 bagi tahun 2026, merangkumi enam projek Rolling Plan, satu projek ekopelancongan dan lima projek Program Pembangunan Untuk Negeri (PPUN).
Daripada lima projek PPUN tersebut, tiga dilaksanakan di bawah inisiatif Cakna MADANI.
Selain itu, sebanyak 34 projek PPUN bagi tempoh 2023 hingga 2026 telah diluluskan dengan kos keseluruhan RM8,632,595.
-Advertisement-
Mesyuarat berkenaan turut menekankan kepentingan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut skop, kos dan tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan kelewatan serta memastikan keberkesanan pelaksanaan.
Antara keutamaan yang dikenal pasti ialah mempercepat pelaksanaan projek PPUN, memperkukuh pemantauan, memastikan pematuhan terhadap tatacara perolehan serta menangani isu pelaksanaan dengan segera.
Bagi projek PPUN tahun 2027, MOTAC turut menetapkan sasaran untuk menyelesaikan proses perolehan dalam tempoh tiga bulan dan menyiapkan projek dalam tempoh enam bulan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Pejabat MOTAC Sarawak, Debbie anak Jenggut Nyelang; Ketua Seksyen Pembangunan MTCP, Michelle Rinjang anak Fedrick John; serta wakil daripada SFC, SEDC, JKRS, MCC dan MDS.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, kerjasama antara MOTAC dengan agensi pelaksana akan terus diperkukuh bagi memastikan projek pembangunan pelancongan Sarawak dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.
Usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah kementerian untuk memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri melalui penyelarasan projek dan pemantauan pelaksanaan yang lebih sistematik.– The Capital Post