KUALA LUMPUR, 11 November 2026 (The Capital Post) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa penuaan sihat perlu bersifat inklusif dan tidak seharusnya menjadi keistimewaan yang hanya dapat dinikmati oleh golongan berkemampuan.
Baginda bertitah, meskipun kemajuan tamadun moden berjaya meningkatkan jangka hayat manusia, peluang untuk menjalani kehidupan pada usia lanjut secara sihat, bermaruah dan bermakna tidak sepatutnya bergantung kepada kedudukan kewangan seseorang.
Bertitah pada High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth hari ini, Sultan Nazrin menegaskan bahawa nilai kehidupan manusia tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kemampuan ekonomi.
Menurut baginda, ekonomi perak perlu dilihat bukan sekadar sebagai peluang pasaran baharu yang menyasarkan pengguna warga emas, sebaliknya sebagai usaha menyusun semula ekonomi ke arah keterangkuman, inovasi dan kestabilan sosial.
Baginda turut menekankan bahawa keterangkuman sebenar memerlukan langkah praktikal bagi memastikan manfaat kehidupan yang lebih panjang dan sihat dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya golongan rentan.
Sultan Nazrin bertitah, perancangan persekitaran kehidupan perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan keupayaan dan kebebasan warga emas, bukan hanya menyediakan bantuan apabila tahap keupayaan mereka semakin merosot.
Sehubungan itu, baginda menjelaskan bahawa aspek perumahan, penjagaan kesihatan, jaminan kewangan dan teknologi tidak boleh lagi dianggap sebagai bidang dasar yang berasingan kerana semuanya saling berkait dalam menyokong penuaan sihat.
Baginda turut menyeru supaya dasar awam tidak hanya tertumpu kepada penjagaan perubatan di institusi, sebaliknya mengutamakan pembangunan komuniti bersepadu yang membolehkan warga emas terus aktif, berdikari dan menerima sokongan mengikut keperluan masing-masing.
-Advertisement-
Memetik dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang diterbitkan awal tahun ini, Sultan Nazrin bertitah bahawa hanya 14.7 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas memenuhi kriteria penuaan yang baik.
Menurut baginda, angka tersebut menunjukkan masih terdapat jurang antara peningkatan jangka hayat dengan tempoh kehidupan yang dapat dilalui dalam keadaan sihat.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa populasi menua tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai beban ekonomi kerana warga emas mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan yang bernilai kepada masyarakat.
Merujuk kepada Kerangka Strategik Penjagaan Malaysia, baginda bertitah bahawa analisis menunjukkan setiap RM1 yang dilaburkan dalam sektor penjagaan berpotensi menjana pulangan ekonomi lebih luas sehingga RM7 melalui peningkatan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan pendapatan.
Baginda menegaskan bahawa peningkatan usia tidak semestinya membawa maksud seseorang menjadi semakin bergantung kepada orang lain, sebaliknya golongan warga emas turut menyumbang kepada pembangunan modal insan dan sosial negara.
Merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penuaan: Memperkasa Warga Emas di ASEAN, Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan, kemudahan awam dan langkah pencegahan pada setiap peringkat kehidupan.
Pada majlis sama, baginda menerima Anugerah Baroness Sally Greengross bagi Inovasi Penuaan Sihat (Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Coalition on Aging, Michael Hodin.– The Capital Post