KUALA LUMPUR, 11 November 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa jasa dan sumbangan seseorang kepada negara tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan rasuah atau penyelewengan harta rakyat.
Beliau berkata, tiada individu yang seharusnya dibiarkan menyalahgunakan kekayaan negara, walaupun telah memberikan sumbangan besar sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, Anwar menegaskan bahawa sikap berkompromi terhadap amalan rasuah semata-mata kerana mengenang jasa seseorang adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut beliau, budaya bertolak ansur terhadap salah laku merupakan antara faktor yang boleh merosakkan masyarakat dan melemahkan usaha membanteras rasuah.
Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia yang menentang rasuah supaya lebih lantang menyuarakan pendirian dan menyampaikan mesej jelas bahawa mereka yang melakukan kesalahan rasuah perlu menerima hukuman sewajarnya.
Dalam hantaran sama, Anwar berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI Siri 14 yang menyentuh bahaya budaya terlalu berkompromi terhadap kesalahan atau permissiveness.
-Advertisement-
Beliau merujuk kepada pandangan tokoh pemikir dan bekas pemimpin Indonesia, Mohammad Natsir, mengenai kecenderungan masyarakat untuk membiarkan salah laku secara beransur-ansur sehingga dianggap sebagai perkara biasa.
Anwar menjelaskan bahawa sikap membiarkan kesalahan kecil tanpa tindakan boleh membuka ruang kepada penerimaan penyelewengan yang lebih besar, termasuk melibatkan wang berjumlah berbilion ringgit.
Menurut beliau, budaya toleransi terhadap perbuatan salah itu perlu ditolak kerana berpotensi menjejaskan nilai integriti, amanah dan kebertanggungjawaban dalam masyarakat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah memerlukan pendirian tegas tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau jasa seseorang individu pada masa lalu. – The Capital Post