KKM Beri Keutamaan kepada Perancangan Tenaga Kerja dan Infrastruktur Kesihatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 12 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penekanan kepada perancangan tenaga kerja secara strategik, pembangunan infrastruktur serta pemantapan tadbir urus kewangan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Sektor Pengurusan Bersama Jabatan Kesihatan Negeri Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari, dari 10 hingga 11 November, di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, pada 11 November, selepas sesi hari pertama dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM.

Pertemuan itu menghimpunkan kepimpinan tertinggi kementerian, Pengarah-Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) serta Setiausaha-Setiausaha Bahagian bagi menyelaraskan pengurusan sumber manusia, kewangan, pembangunan infrastruktur, perolehan dan pembangunan kompetensi.

Dalam amanatnya, Hasnol Zam Zam menekankan kepentingan perancangan sumber manusia yang strategik, proaktif dan berteraskan data bagi memastikan keperluan tenaga kerja di fasiliti kesihatan sentiasa diberikan perhatian.

Menurut beliau, perancangan tenaga kerja yang berkesan penting bagi menjamin kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer di klinik kesihatan melalui penempatan petugas berpengalaman, penyediaan kemudahan diagnostik bersesuaian serta pengoptimuman kapasiti fasiliti sedia ada.

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, mesyuarat memberi tumpuan kepada perancangan pembangunan mampan, penggunaan aset secara optimum serta pengagihan peruntukan yang lebih bersasar.

-Advertisement-

Keutamaan turut diberikan kepada usaha menaik taraf fasiliti kesihatan, menambah baik kemudahan sokongan dan memperluas akses perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar.

Selain itu, pemantapan tadbir urus kewangan, prosedur perolehan dan pengurusan projek pembangunan turut dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan setiap inisiatif berjalan dengan cekap, teratur serta mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.

Usaha pendigitalan proses kerja juga diberikan perhatian sebagai langkah meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara Ibu Pejabat KKM dengan Jabatan Kesihatan Negeri melalui penyelarasan keutamaan, perkongsian amalan terbaik serta pelaksanaan penambahbaikan pengurusan secara bersepadu.

Hasnol Zam Zam turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan kepimpinan Jabatan Kesihatan Negeri atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan agenda pengurusan kesihatan negara.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Noor Afifah Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Dato’ Sri Zahrul Hakim Abdullah; serta pegawai kanan kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri.

KKM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kecekapan pengurusan, memantapkan pembangunan infrastruktur dan mengoptimumkan penggunaan sumber bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan berkesan dapat disampaikan kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.– The Capital Post