19 Tahun Berkhidmat, Pegawai APM Terus Siaga Hadapi Banjir

Estimate Reading Time: 2 minutes

TELUK INTAN 13 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pengalaman lebih 19 tahun mengendalikan operasi menyelamat mangsa banjir tidak pernah menjadikan tugas berkenaan mudah bagi Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Kapten (PA) Mohd Affindi Ishak, yang terus memastikan kesiapsiagaan pasukannya berada pada tahap optimum setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda.

Beliau berkata operasi menyelamat dilaksanakan secara bergilir selama 24 jam bagi memastikan penduduk yang terjejas dapat dipindahkan dengan selamat ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

Menurutnya, penugasan anggota dibahagikan kepada dua syif, termasuk tugasan dari jam 8 pagi hingga 8 malam, bagi mengurangkan beban petugas yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa.

Walaupun sudah biasa berdepan bencana banjir setiap tahun, beliau menegaskan setiap operasi tetap memerlukan perhatian serius kerana sebarang kesilapan boleh mengundang risiko keselamatan dan kehilangan nyawa.

Berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, Mohd Affindi berkata pasukannya pernah berdepan situasi kecemasan apabila tinjauan rutin paras air di Sungai Sungkai bertukar menjadi operasi menyelamat secara mendadak pada tahun lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila air sungai naik dan melimpah sehingga membanjiri kediaman penduduk di Kampung Batu 9 yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, penggunaan kenderaan pacuan empat roda ketika tinjauan membolehkan dua warga emas yang terkandas di dalam rumah diselamatkan sebelum dibawa ke PPS berhampiran.

Selain operasi menyelamat, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menjalankan pemantauan paras air di sungai dan kawasan berisiko tinggi menggunakan peralatan pengukur khusus bagi mengesan perubahan paras air secara berkala.

-Advertisement-

Langkah itu membolehkan pihaknya mengenal pasti trend peningkatan atau penurunan paras air dan menggerakkan tindakan susulan dengan lebih pantas.

Mohd Affindi berkata tanggungjawab APM turut merangkumi pengurusan di PPS, termasuk memastikan penempatan mangsa berada dalam keadaan teratur dan selesa, menyelaras keperluan mereka serta membantu mendapatkan rawatan perubatan bagi mangsa yang mempunyai masalah kesihatan.

Bagi menghadapi musim banjir di daerah Hilir Perak, APM turut menggerakkan tiga bot aluminium, dua bot fiber, sebuah bot amfibia dan empat kenderaan pacuan empat roda untuk memantau serta melaksanakan operasi di kawasan berisiko dinaiki air.

Kekuatan operasi turut disokong melalui kerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut beliau, seramai 50 anggota APM turut disediakan bagi melaksanakan operasi menyelamat di seluruh kawasan yang berisiko dilanda banjir di daerah berkenaan.

Komitmen berterusan petugas barisan hadapan itu mencerminkan kepentingan kesiapsiagaan, pemantauan dan kerjasama antara agensi dalam memastikan keselamatan penduduk sepanjang musim Monsun Timur Laut. – The Capital Post