BUKIT MERTAJAM 13 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai disengat lebah ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Sungai Lembu, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan pada jam 6.40 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan orang awam di sekitar kawasan bukit berkenaan.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa turun ke kaki bukit oleh anggota bomba untuk diserahkan kepada pasukan perubatan.
-Advertisement-
Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota bomba termasuk seorang penyelia dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.46 malam. – The Capital Post