ISLAMABAD 13 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing di Naypyidaw pada Khamis bagi membincangkan hubungan dua hala serta isu keselamatan serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.
Menurut Kementerian Luar Thailand, pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam pelbagai bidang selain menegaskan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar Thai PBS World.
Lawatan Sihasak berlangsung beberapa hari sebelum sidang kemuncak berkenaan dijadual bermula pada Ahad di Manila, Filipina.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha meningkatkan keselamatan dan kestabilan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
Sihasak menekankan kepentingan melindungi keselamatan rakyat Thailand yang menetap di kawasan sempadan, selain meminta Myanmar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan penduduk di pihak Thailand.
Isu pencemaran rentas sempadan, khususnya pencemaran sungai yang memberi kesan kepada komuniti di kedua-dua negara, turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.
-Advertisement-
Thailand dalam pada itu menyatakan sokongan terhadap usaha mewujudkan keamanan di Myanmar serta menggalakkan penglibatan konstruktif negara berkenaan dengan ASEAN dan masyarakat antarabangsa.
Sebelum ini, wakil ASEAN turut mengadakan lawatan ke Myanmar pada akhir bulan lalu bagi memperluas akses kepada bantuan kemanusiaan.
ASEAN bagaimanapun masih mengecualikan pemimpin Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncaknya sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi.
Myanmar dijangka diwakili Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luarnya pada sidang kemuncak kali ini. – The Capital Post