MELAKA, 14 November 2026 (The Capital Post) – Datuk T. Mohan membuktikan komitmennya terhadap masyarakat apabila turun padang membantu seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek untuk ke pusat pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.
Mohan yang juga bekas Ketua Pemuda MIC Kebangsaan berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada janji yang dibuatnya kepada seorang pengundi ketika menjalankan kempen pilihan raya beberapa hari lalu.
Menerusi hantaran di Facebook bertajuk “Wayang Bukan Ini Hakikat”, beliau memaklumkan bahawa janji tersebut telah ditunaikan pagi ini sebagai tanda tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Seperti yang telah saya janjikan kepada salah satu pengundi di DUN Gadek ketika kempen beberapa hari lalu, saya akan membantu membawa mereka ke pusat pengundian.
“Maka pagi ini saya menunaikan janji tersebut. Bagi saya, setiap janji yang diberikan kepada masyarakat harus disertai dengan tindakan dan tanggungjawab,” katanya.
Hantaran berkenaan turut disertakan dengan rakaman visual yang memperlihatkan usaha beliau mendekati masyarakat setempat.
-Advertisement-
Mohan merupakan antara pemimpin tertinggi MIC yang berpengalaman dalam politik dan kerja kemasyarakatan, khususnya membabitkan kebajikan serta pembangunan masyarakat India di Malaysia.
Beliau pernah menerajui Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan dari 2009 hingga 2013 sebelum menyandang jawatan Naib Presiden MIC. Mohan turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara selepas dilantik sebagai senator pada 2017.
Sepanjang tempoh kempen PRN Melaka kali ini, Mohan turut aktif membantu gerak kerja Barisan Nasional (BN), khususnya di DUN Gadek yang menyaksikan MIC mempertaruhkan S. Nadarajah sebagai calon.
Kerusi Gadek menjadi antara kawasan tumpuan pada pilihan raya kali ini apabila menyaksikan persaingan empat penjuru, sekali gus menjadikan usaha mendekati pengundi dan menggalakkan penyertaan mereka dalam proses demokrasi sebagai antara aspek penting sepanjang kempen.
Bagi Mohan, janji kepada masyarakat tidak seharusnya terhenti selepas kempen pilihan raya, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 berlangsung hari ini bagi menentukan wakil rakyat di 28 kerusi DUN, dengan keputusan pengundi bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi penggal seterusnya. – The Capital Post.