KUALA LUMPUR 17 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta perkembangan pelaksanaan dasar Borneonisasi di Sabah dan Sarawak menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman web Parlimen, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) dijadual meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan tahap kesiapsiagaan kerajaan menghadapi MTL.
Pertanyaan itu turut menyentuh langkah bagi mengelakkan masalah berulang ketika bencana banjir, termasuk kekurangan bekalan makanan, ketidaksamaan kualiti barangan bantuan serta keletihan petugas di pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu, Datuk Siti Aminah Aching (GRS-Beaufort) meminta Perdana Menteri memberikan penjelasan mengenai status pelaksanaan dasar Borneonisasi, khususnya peratusan pengisian jawatan profesional dan pengurusan oleh anak tempatan di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut ingin mengetahui langkah kerajaan bagi memastikan proses penempatan jawatan lebih telus serta peluang kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam sesi sama, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Kerja Raya menjelaskan sama ada kementerian bercadang memberi keutamaan segera kepada kerja menaik taraf Jalan Utama Palong (FT44), dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 9.0.
Permintaan itu dibangkitkan memandangkan laluan berkenaan sering berlaku kemalangan maut dan merupakan sambungan kepada jajaran yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) dijadual mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Kewangan mengenai kesediaan kerajaan memperluas kategori barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
-Advertisement-
Turut menjadi perhatian ialah isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), apabila Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Menteri Komunikasi memperincikan strategi kerajaan menangani peningkatan kandungan video palsu berteknologi tinggi atau deepfake serta berita sintetik yang digunakan untuk penipuan identiti dan manipulasi maklumat.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pula meminta penjelasan Menteri Komunikasi mengenai langkah membanteras kegiatan mencuri kabel telekomunikasi yang dilakukan dengan menyamar sebagai petugas penyelenggaraan.
Pertanyaan itu turut melibatkan tindakan bersepadu bagi menangani ancaman keselamatan serta risiko kemalangan terhadap orang awam akibat kegiatan berkenaan.
Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa, sebelum mendengar sesi penggulungan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Mengikut takwim Parlimen, perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung sehingga 26 November ini, dengan baki 16 kementerian perlu menyelesaikan sesi penggulungan portfolio masing-masing.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 37 hari dan dijadual berakhir pada 8 Disember ini. – The Capital Post