BN Belum Putuskan PRN Perak Dan Pahang

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAGAN DATUK 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Barisan Nasional (BN) tidak bercadang untuk tergesa-gesa mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di negeri lain meskipun mencatatkan prestasi positif dalam beberapa pilihan raya, termasuk PRN Melaka yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berhubung cadangan mengadakan PRN di negeri lain perlu diserahkan kepada pemimpin negeri masing-masing berdasarkan keadaan dan kesesuaian semasa.

Menurut beliau, BN mahu memberi tumpuan menyelesaikan satu perkara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang langkah berkaitan pilihan raya di negeri lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya cadangan mengadakan PRN dilihat sesuai, Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri berkenaan boleh menilai situasi sebelum mengemukakan nasihat kepada Sultan atau Yang Dipertua Negeri masing-masing.

-Advertisement-

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, supaya PRN turut diadakan di Perak dan Pahang.

Kedua-dua negeri itu kini ditadbir menerusi kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Mohd Puad sebelum ini dilaporkan mencadangkan perkara berkenaan susulan kejayaan formula kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan kedua-dua gabungan mencatatkan kemenangan besar pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu.

Dalam PRN Melaka itu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala PH memperoleh empat kerusi dan PN pula memenangi tiga kerusi. – The Capital Post