AirBorneo Buka Laluan Terus Kuching-Jakarta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING 17 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Perjalanan dari Kuching ke Jakarta kini lebih mudah dengan pengenalan perkhidmatan penerbangan terus AirBorneo yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada rakyat Sarawak untuk meneroka budaya, makanan dan gaya hidup ibu kota Indonesia itu.

Laluan baharu berkenaan bukan sahaja memendekkan tempoh perjalanan, malah berpotensi mengeratkan hubungan antara masyarakat Sarawak dan Indonesia melalui perkongsian budaya serta pengalaman.

Pada 13 November lalu, AirBorneo, syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, memperluas rangkaian operasinya ke Jakarta menggunakan pesawat Boeing 737-800.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, pembukaan laluan itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan udara selain menyokong perkembangan hubungan dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara Sarawak dengan Jakarta.

Menurut beliau, dari sudut pelancongan, laluan tersebut turut memberi peluang kepada pelawat dari Indonesia untuk meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO, keindahan hutan hujan tropika serta kepelbagaian festival di Sarawak.

Pada masa sama, rakyat Sarawak dan Borneo berpeluang menikmati kepelbagaian gastronomi, fesyen, industri kreatif serta gaya hidup metropolitan di Jakarta.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas pelancaran penerbangan sulung Kuching-Jakarta yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Wartawan The Borneo Post, Roy Emmor Entai, 45, yang turut menyertai penerbangan sulung itu menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai jambatan penting dalam mengeratkan hubungan masyarakat kedua-dua wilayah melalui perkongsian budaya dan pengalaman.

-Advertisement-

Bagi penumpang, Mohamad Sofian Bujang, 41, berkata perkhidmatan terus itu amat dinantikan kerana membolehkan mereka ke Jakarta tanpa perlu transit di Kuala Lumpur, sekali gus menjimatkan masa perjalanan.

Seorang lagi penumpang, Mohd Reza Ali, 40, berharap AirBorneo dapat terus memperluas rangkaian operasinya dengan memperkenalkan lebih banyak destinasi antarabangsa pada masa hadapan.

Pandangan itu turut dikongsi Shazreena Ali, 37, yang menyifatkan laluan berkenaan sebagai kemudahan penting kepada anak perantau Sarawak yang bekerja di luar negara untuk pulang ke kampung halaman.

Perkhidmatan penerbangan terus Kuching-Jakarta itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu pada setiap Isnin, Jumaat dan Ahad. Tambang promosi ditawarkan bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM888 bagi kelas perniagaan.

Menambah kelainan kepada pengalaman penerbangan, penumpang turut disajikan hidangan tempatan Sarawak seperti mi kolok, nasi ayam pansuh dan laksa Sarawak goreng.

Penyediaan hidangan berkenaan bukan sahaja memperkenalkan cita rasa tempatan kepada penumpang, malah menjadi antara usaha mengetengahkan keunikan gastronomi Sarawak kepada pelancong antarabangsa. – The Capital Post