BATU PAHAT 17 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seorang guru sekolah menengah di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM748,326.50 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 54 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada akhir Ogos lalu yang mendakwa menghubunginya dari sebuah hospital di Rawang, Selangor.
Menurut beliau, mangsa diberitahu bahawa terdapat pihak ketiga menggunakan namanya bagi membuat tuntutan insurans sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Suspek kemudian menawarkan bantuan untuk membuat laporan polis secara dalam talian dan meminta mangsa menyerahkan kad ATM miliknya kononnya bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Akibat ketakutan, mangsa akur dengan arahan suspek termasuk meletakkan kad ATM berkenaan di sebuah gerai nasi lemak berhampiran rumahnya pada 3 September lalu.
-Advertisement-
Shahrulanuar berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan wang selepas membuat semakan akaun bank pada minggu lalu dan mendapati beberapa transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali berjumlah RM673,326.50.
Selain itu, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM75,000 ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) pada 4 November lalu.
Beliau berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada kakaknya pada 15 November sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas dimaklumkan oleh ahli keluarganya itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – The Capital Post