1,305 Aduan Rumah Ibadat Tanpa Kebenaran

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 19 November (The Capital Post) – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima sebanyak 1,305 aduan berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bagi tempoh 2025 hingga 2026, termasuk struktur yang didirikan berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, sebanyak 114 aduan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Susulan aduan yang diterima, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan dilaksanakan oleh PBT, melibatkan 432 tindakan termasuk pengeluaran notis amaran, pengenaan kompaun, arahan berpindah dan tindakan perobohan.

Perkara itu dinyatakan KPKT menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung tindakan terhadap pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran, khususnya berhampiran infrastruktur kritikal.

Menurut kementerian itu, Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menetapkan bahawa tiada pihak dibenarkan mendirikan bangunan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.

Peruntukan tersebut turut terpakai kepada semua jenis rumah ibadat termasuk masjid, gereja, tokong dan kuil tanpa pengecualian atau keistimewaan berdasarkan agama.

Selain itu, Seksyen 72(1) akta sama memberi kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan notis menghentikan kerja pembinaan serta mengarahkan perobohan bangunan sekiranya didapati didirikan atau sedang dibina bertentangan dengan peruntukan undang-undang berkenaan.

-Advertisement-

Bagi rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, tindakan pula terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri.

Pejabat Tanah dan Daerah boleh mengeluarkan notis kepada pihak yang menceroboh atau menduduki tanah tanpa kebenaran berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara 1965.

Sementara itu, KPKT menjelaskan pemilik tanah persendirian tidak dibenarkan mengambil tindakan merobohkan sendiri struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.

Sebaliknya, pemilik tanah perlu membuat laporan polis dengan segera, mengemukakan notis kepada pihak yang membina struktur berkenaan serta memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Daerah atau PBT.

Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) juga akan diaktifkan sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak terlibat bagi mencari penyelesaian yang munasabah.

KPKT menegaskan setiap aduan akan disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara berterusan, tegas serta menyeluruh bagi memastikan pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal, khususnya apabila melibatkan keselamatan serta kepentingan awam. – The Capital Post